Welcome to my world

Welcome to my world

Monday, May 9, 2011

Komplot Kristian ; Adakah DAP sasarannya?... Tidak...


Selepas kegagalan yang memalukan dalam agenda “1Melayu, 1Bumi”, media tradisional Umno, Utusan Malaysia dan barisan blogger mereka cuba sekali memainkan isu yang cukup sensitif dan berbahaya untuk kestabilan negara dengan menuduh bahawa para pemimpinDAP berkonspirasi dengan paderi Kristian bagi menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dan membolehkan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri.

Di atas permukaan, DAP dan agama Kristian dilihat sebagai sasaran sebenar Utusan. Namun, harus diingatkan di dalam politik, kebanyakan drama hanya membenarkan penonton tepi jalan melihat apa yang hendak diperlihatkan – dengan ini bermaksud ada pihak yang inginkan rakyat percaya bahawa sasaran sebenar mereka ialah DAP dan juga Kristian.

Persoalannya, adakah begitu keadaannya?

Sudah tentu tidak. DAP hanya sebuah catur yang digunakan sebagai batu lonjatan untuk melumpuh imej politik musuh yang paling digeruni Umno di minda pengundi-pengundi kawasan pedalaman. DAP bukanlah musuh terbesar Umno. Ia juga bukanlah PKR.

Musuh terbesar Umno ialah PAS.

Sebab untuk setiap kerusi Umno, jika ia kalah, kebarangkaliannya besar ia akan menjadi kerusi PAS di kawasan-kawasan pedalaman. Selepas majoriti bukan Melayu meninggalkan komponen parti Barisan Nasional kerana kebiadapannya, Umno sedar bahawa talian hayat politiknya kini bergantung sepenuhnya di tangan pengundi-pengundi kawasan pedalaman.

Dengan alasan tersebut maka pengundi-pengundi kawasan pedalaman mesti di’cuci’ minda sehingga melihat ‘tiada pilihan lain’ selain Umno. Dengan ungkapan ‘tiada pilihan lain’, ia bermaksud PAS mesti dibunuh dengan segala modal yang ada.

Membunuh DAP tidak akan membantu Umno untuk mengembalikan undi-undi bukan Melayu yang hilang, akan tetapi dengan melakar DAP seteruk parti syaitan, Umno berharap pengundi-pengundi kawasan pedalaman akan menekan PAS, ataupun lebih baik lagi memarahi PAS kerana sanggup bekerja dengan parti syaitan tersebut untuk menyingkirkan sebuah parti orang Melayu, Umno (bukan Barisan Nasional) yang sering digambarkan sebagai parti tunggal pembela orang Melayu di negara ini.

Bacalah analisis penganalisa politik Harakahdaily di bawah dan pembaca bolehlah membuat penilaian sendiri terhadap permainan terbaru Umno.

20 April:

Ekoran kejayaan DAP di Sarawak, editor Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan menggesa Umno untuk mengepalai pergerakan kontroversial “1Melayu, 1Bumi”. Ramai pemimpin Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah membela akhbar milik Umno tersebut walaupun menerima pelbagai kecaman daripada seluruh pelosok negara terhadap cadangan tersebut, yang dilihat bertembung dengan konsep 1Malaysia laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lebih mengejutkan, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, penyokong kuat Perkasa memberikan amaran supaya Utusan dan Perkasa membatalkan hasrat tersebut kerana cadangan tersebut adalah tidak baik untuk negara.

Semasa mencadangkan pergerakan “1Melayu, 1Bumi” Zaini menulis bahawa DAP berjaya menyatukan orang Cina, maka tidak salah bagi orang Melayu melancarkan seruan 1Melayu, 1Bumi kerana orang Melayu sendiri belum bersatu.

“Jika PAS degil dan tidak mahu ikut serta, gabungkan dengan puluhan NGO-NGO Melayu yang kini tumbuh bagaikan cendawan di atas bumi Malaysia ini.“

komentar:

DAP digunakan sebagai alasan untuk memaksa PAS untuk bersama Umno demi orang Melayu. Umno cuba menggambarkan seolah-olah PAS ialah parti Melayu yang ‘pelik’ di mata pengundi-pengundi pedalaman yang majoritinya orang Melayu.

Malah, Umno dan Utusan cuba menjaja idea bahawa kejayaan DAP di Sarawak ialah petanda bahawa orang Cina telah menolak kepimpinan orang Melayu.

Serangan ini dipatahkan dengan hujah ringkas oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan membetulkan persepsi bahawa kejayaan DAP di Sarawak hanya membuktikan bahawa orang Cina telah menolak pemimpin Cina dalam Barisan Nasional (BN) kerana DAP hanya menang dengan mengalah calon Cina daripada BN.

Oleh itu, soal orang Cina menolak kepimpinan Melayu langsung tidak berbangkit, terang Tuan Ibrahim.

30 April:

Najib menyeru Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meninggalkan DAP dengan mendakwa bahawa parti tersebut tidak memperjuangkan Islam. Perdana Menteri juga menjemput PAS untuk menyertai Barisan Nasional untuk melaksanakan usaha memperkasakan agenda bangsa, agama dan negara.

Pada masa yang sama, MCA pula mengugut pengundi Cina dengan mengatakan bahawa parti tersebut akan menolak sebarang jawatan kabinet pada masa hadapan sekiranya terus tidak mendapat sokongan daripada kaum tersebut pada pilihanraya umum akan datang.

komentar:

Sekali lagi, Umno menggunakan DAP sebagai batu loncatan untuk membunuh persepsi politik pengundi-pengundi pedalaman terhadap PAS dengan menjemput parti Islam tersebut untuk menyertai BN bagi memperkasakan bangsa, agama dan negara walaupun mengetahui sepenuhnya PAS akan menolak usul tersebut sekali lagi kerana tidak mahu bersama memperjuangkan kemungkaran Umno dan kekal bersama Pakatan Rakyat.

Pencacai Umno, MCA pula secara diam akur dengan skrip politik Umno dan cuba menggambarkan bahawa Barisan Nasional akan menjadi kerajaan orang Melayu sahaja jika betul mereka menolak sebarang jawatan kabinet kerana orang Cina tidak menyokong mereka.

Secara tidak langsung, Umno dan MCA dengan sengaja membuka jalan kepada plot berbahaya dengan memberikan gambaran kepada pengundi-pengundi bahawa sebuah 'dikotomi berbahaya' akan wujud dengan kerajaan Melayu-dominan di satu sisi dan pembangkang yang Cina-dominan di sisi yang lain – dan semua ini terjadi kerana Pakatan Rakyat.

Kerana mengetahui bahawa PAS akan menolak sekali lagi dalam usaha ke arah menjayakan plot berbahaya tersebut, skrip politik telahpun disiap-sedia di mana Umno akan menuduh PAS lebih sanggup bekerja dengan parti yang dituduh syaitan oleh Umn iaitu DAP daripada bersama Umno untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Islam.

Skrip tersebut juga menggambarkan Umno bersifat baik hati dengan melupakan persengketaan lama dengan PAS dengan jemputan tidak ikhlas tersebut tanpa menghiraukan fakta bahawa parti orang Melayu Barisan Nasional tersebutlah yang menganiayai kerajaan orang Islam PAS di Kelantan selama 2 dekad yang lalu.

Pada masa yang sama, Umno juga memberitahu pengundi-pengundi pedalaman bahawa parti PAS angkuh dan mengikut telunjuk DAP menyebabkan parti tersebut meninggalkan perjuangan membela orang Melayu.

Seramai lapan pemimpin tertinggi PAS, termasuk Murshidul Am, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang sinonim walaupun berasingan bahawa parti Islam akan kekal bersama Pakatan Rakyat dengan matlamat untuk mengeluarkan Umno dari Putrajaya dalam pilihanraya umum ke 13.

1 Mei:

Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menyeru PAS untuk meninggalkan perjuangan Islam jika parti Islam tersebut ingin menerima jemputan Najib untuk menyertai BN. Chua juga turut mendakwa bahawa Najib amat memahami pendirian MCA yang menolak dasar Islam PAS walaupun mengetahui bahawa perdana menteri menggunakan Islam sebagai alasan untuk kerjasama antara Umno dan PAS.

komentar:

Atas keceluparan dan sentimen anti-Islam Presiden MCA Chua Soi Lek, hasrat Umno untuk membunuh persepsi politik orang pedalaman terhadap PAS dipatahkan lagi akibat kesungguhan segelintir pemimpin MCA untuk menunjukkan kepada pengundi-pengundi Cina bahawa merekalah yang betul-betul anti Islam demi meraih sokongan.

5 Mei:

Utusan memainkan isu kenyataan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang menuduh golongan yang menentang penyatuan Umno-PAS sebagai pengkhianat Islam.

komentar:

PAS sekali lagi ditekan kerana menolak pelawaan Najib untuk berkerjasama dengan Umno atas nama Islam versi Umno yang menghalalkan judi, menghalalkan penganiayaan terhadap negeri Islam yang lain dan menganggap rasuah sebagai sebahagian daripada amalan hidup.

Mufti mempunyai wibawa yang tinggi di kalangan pengundi-pengundi Melayu di kawasan pedalaman,  dan oleh sebab itu, PAS terpaksa berhati-hati untuk mengatasi perangkap Umno ini dengan menjaga wibawa seorang mufti sambil menolak penyatuan dengan Umno supaya parti Melayu Barisan Nasional tidak dapat menggunakan sebarang alasan untuk sekali lagi membunuh persepsi politik pengundi-pengundi pedalaman terhadap PAS.

Sekali lagi, persoalan ringkas berikut daripada Tuan Ibrahim cukup untuk menghalang kemaraan Umno dalam isu ini.

“Sebagai seorang mufti, Dr Juanda perlu memahami bahawa jangkauan perpaduan yang cuba dicadangkannya, perlulah sebaik-baiknya mencerminkan kehendak Islam yang syumul ini, dan lebih penting lagi meletakkan asas penyatuan bagi mencari keredhaan Allah.

"Bagi Dr Juanda dan mereka yang sama fikrah dengan pandangannya, Apakah PAS diminta mendokong kemungkaran dan kebejatan yang dilakukan oleh Umno, samada dalam aspek agama mahupun pengurusan negara?”

7 Mei:

Utusan, Pembela, Perkasa dan Dr Mahathir semuanya memainkan isu konspirasi Kristian pada masa yang sama.

Malah Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dan Menteri Informasi, Telekomunikasi dan Budaya Rais Yatim turut serta memberikan kredibiliti kepada komplot yang diwar-warkan tersebut dengan memberikan amaran kepada golongan yang mempersoalkan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan.

MCA, seperti biasa tidak terlalu berani bersuara dan membenarkan Umno untuk meneruskan plot jahatnya. Timbalan Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sekadar mengatakan laporan Utusan itu sebagai omong-omong tanpa memberikan sebarang kritikan terhadap Utusan yang memainkan sentimen yang berbahaya tersebut.

Menyedari permainan berbahaya Umno ini, pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Hadi telah mengingatkan bahawa perjuangan bersama Pakatan Rakyat adalah untuk menjunjung perlembagaan negara, terutamanya Islam sebagai agama persekutuan dan bersama membidas permainan Utusan yang berbahaya tersebut.

komentar:

Seperti yang diterangkan Tuan Ibrahim, dengan segala kekuatan DAP sahaja, ia adalah mustahil untuk melakukan dakwaan tersebut kerana jumlah ahli Parlimen mereka tidak mencukupi, bahkan atas nama Pakatan Rakyat sekalipun, tak mungkin PAS dan PKR akan bersetuju, lagi-lagi DAP pun tidak akan mencadangkan usul yang cukup tidak logik tersebut.

Sebagai langkah untuk membetulkan persepsi pengundi-pengundi kawasan pedalaman, beliau turut mengingatkan bahawa sebarang dasar negara memerlukan persetujuan majoriti dalam parlimen yang terdiri daripada ahli parlimen yang majoritinya Islam.

“Pindaan dasar negara bukan boleh dibuat dalam mesyuarat di hotel atau dalam majlis tertutup. Sebarang pindaan perlembagaan tentu akan dibincangkan di parlimen, dan kalaulah ini terjadi, apakah wakil rakyat yang majoritinya beragama Islam akan bersepakat dan bersetuju dengan pindaan tersebut?

“Sudah tentu tidak. Lebih-lebih lagi, Pakatan Rakyat sudah awal-awal lagi mengisytiharkan bahawa kita akan mendokong sepenuhnya Perlembagaan Malaysia, lebih-lebih lagi Islam sebagai agama rasmi negara,” terang beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Jadi, jikalau sudah tahu perkara konspirasi Kristian itu tidak berasas dan tidak logik, mengapa Umno masih ingin mainkan isu yang serba berbahaya ini?

Jawapannya mudah – untuk mencipta satu ‘common enemy’ (musuh bersatu) yang tidak wujud di minda pengundi-pengundi Melayu di kawasan pedalaman supaya menekan PAS untuk bekerjasama dengan Umno untuk mengatasi kemelut buatan Umno ini.

Sekali lagi, segala plot yang Umno mainkan sasarannya ialah PAS, dan memaksa parti Islam tersebut ke satu penjuru supaya para pengundi Melayu pedalaman hanya akan lihat Umno sebagai satu-satunya pilihan yang ada untuk membela bangsa dan agama Islam pada pilihanraya depan kerana mereka tahu parti Islam tidak akan bersama mereka dalam kerja menfitnah dan menkucar-kacirkan negara.

Selepas plot menjatuhkan Anwar dengan video lucah gagal, Umno sekarang bertukar menggunakan DAP sebagai batu loncatan untuk memainkan sentimen pengundi-pengundi Melayu pedalaman terhadap PAS, dengan menuduh parti Islam tersebut tidak berupaya untuk mempertahankan mereka dan menjadi kuda tunggangan kepada bukan Islam yang mereka sering gambarkan sebagai golongan dominan di Pakatan Rakyat.

Dengan memainkan isu sensitif ini juga, ia juga menunjukkan bahawa Umno tidak selesa untuk mengadakan piliharaya umum sekarang ini, kerana dengan menggunakan Kristian sebagai mangsa untuk kenakan PAS, parti Melayu Barisan Nasional itu tahu bahawa deposit kekalnya di Sarawak dan Sabah akan terjejas lebih teruk lagi berbanding keputusan pilihanraya negeri Sarawak yang lepas.

Dengan pengumunan Suruhanjaya Pilihanraya semalam bahawa ia sudah mula 0membuat kajian awal persempadanan semula kawasan pilihan raya, rasanya pilihanraya umum akan dipanggil selepas kawasan majoriti Melayu dipecahkan dan kawasan majoriti Cina digabungkan untuk membolehkan Umno memenangi lebih banyak kerusi dengan hanya bergantung kepada pengundi pedalaman.

Jadi, siapa lagi yang melihat DAP dan Kristian sebagai sasaran sebenar Umno? Untuk menumpaskan Umno, semua pihak berkewajiban untuk menyedarkan pengundi-pengundi Melayu pedalaman untuk menyokong PAS, yang kini semakin dilihat sebagai parti pengaman dan penstabil berbanding Umno yang suka mengkucar-kacirkan negara dengan sentimen berbahaya demi kepentingan politik.

Monday, April 25, 2011

lewat II

KUALA LUMPUR 25 APRIL: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendengar penggulungan kes fitnah kedua membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguambela Karpal Singh memulakan pengulungan bagi pihak tertuduh.
Karpal dalam hujahnya berkata,  bahawa timbul keraguan oleh pihak pendakwaan apabila doktor pakar Hospital Pusrawi, Dr. Mohd Osman tidak dipanggil memberi keterangan dalam kes tersebut.
Justeru peguam vateran itu mengingatkan mahkamah supaya bergantung kepada apa yang dikemukakan di mahkamah dan bukannya terpengaruh dengan anasir luar.
"Bukan media atau apa yang dikatakan oleh perdana menteri," katanya.

Karpal juga berkata, pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan turut menemui bekas pembantu Anwar, Ezam Mohd Nor pada hari yang sama beliau membuat laporan polis di mana tindakannya itu mengundang pelbagai spekulasi.
Terdahulu Karpal dalam hujahnya berkata, pada hari kejadian bertempat di unit kondominium Desa Damansara,  pengadu yang juga bekas pembantu peribadi Anwar,  berpeluang untuk meninggalkan lokasi sebelum Anwar dituduh memaksa beliau melakukan seks luar tabii tanpa rela.
Namun kata Karpal, Saiful mengambil keputusan untuk tidak berbuat demikian.

Kata Karpal pengadu sebaliknya hanya menuruti permintaan Anwar walaupun beliau mengakui dipaksa tertuduh.

Seterusnya Karpal berkata, adalah penting bagi mahkamah untuk mengambilkira kredibiliti testimoni saksi yang diperhatikan tidak konsisten.

Katanya, sebarang bukti atau kenyataan lisan yang tidak kukuh harus ditolak mahkamah.
Seterusnya, Ram Karpal Singh mengambil giliran mengemukakan penghujahan berasingan berhubung keterangan saksi pakar DNA, Dr Seah dan pengalisis Nor Aidora Saedon.
Anwar berhadapan dengan dakwaan meliwat Saiful Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.01petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Friday, April 8, 2011

Kezaliman mesti dibenteras...

KEZALIMAN MESTI DIBENTERASProf Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)
Negara kita dikejutkan dengan kes kematian ‘jatuh bangunan’ Ahmad Sarbani, Penolong Pengarah Kastam Selangor. Beliau merupakan saksi bagi kes penyelewengan dalam Kastam. Di mana baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan penyelewengan Kastam bernilai 108 billion. Satu jumlah wang rakyat yang begitu banyak. Jika wang itu diperuntukkan untuk subsidi atau pembangunan secara adil, tentu keseluruhan rakyat dapat menikmati.
Peliknya lagi beliau mati kerana jatuh dari bangunan SPRM. Lebih aneh, sebelum ini Beng Hock yang cuba mendedahkan bukti rasuah juga mengalami nasib yang sama. Apakah kerana bangunan itu terlalu licin, atau tiada penghadang? Jika begitu bagaimana ia boleh diluluskan? Atau, ada hantu ‘tolak orang’ dari bangunan spesis ‘pontianak sundal rasuah’.
Peliknya, entah berapa ribu bangunan lain yang puluhan tingkat dalam negara ini, tidak pula sering kita dengar orang tergelincir. Mengapa asyik tergelincir di bangunan SPRM sahaja? Tambahan lagi yang tergelincir itu ada pula kaitan dengan saksi kes-kes penyelewengan dan rasuah yang besar-besar. Apakah ada Mafia atau al Capone yang sedang beroperasi dalam negara kita? Persoalan-persoalan ini memeningkan rakyat. Maka bisikan timbul di sana-sini. ketidakpuasan hati kedengaran secara terang dan nyata. Di kedai kopi ataupun di facebook. Bak kata Hajjaj yang zalim:
“Fitnah (kekacauan) itu dicetuskan dengan bisikan, ia dihasilkan dengan aduan” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201)
sprm.jpg
Bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur
Zalimi Orang Lain
Perbuatan seperti zina, minum arak, berjudi dan yang sewaktu dengannya memang besar dosanya. Ia adalah dosa antara hamba dengan Allah. Hamba itu menzalimi dirinya sendiri. Ia juga perlu dibenteras. Namun, dosa membunuh, rasuah, mencuri harta rakyat, menyeleweng harta negara adalah dosa yang jauh lebih besar kerana membabitkan kezaliman atau penganiayaan terhadap hamba-hamba Allah yang lain. Merosakkan imbangan dan keharmonian masyarakat secara menyeluruh. Dosa yang seperti ini patut dipandang lebih serius.
Biasanya, maksiat peribadi memusnah pelakunya sahaja, tetapi kezaliman akan memusnah dan merosakkan semua termasuk mereka yang tidak bersalah. Ia akan mengenai anggota masyakat; yang baik ataupun yang jahat, mukmin ataupun kafir. Allah dengan itu memberi amaran: (maksudnya):
“Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya (Surah al-Anfal, ayat 25). Dalam menafsirkan ayat ini Ibn ‘Abbas berkata: “Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak akur akan kemungkaran yang berlaku dalam kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya”.( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam).
Musnah Masyarakat
Ketidak sungguhan sesuatu masyarakat untuk menentang kefasadan dan kezaliman yang berlaku akan menyebabkan masyarakat itu dipinggirkan dari rahmat Allah lantas tercetuslah ketidak tenteraman dalam kehidupan. Justeru itu dilaknat kaum yang tidak menghalang pencerobohan hak dan mencegah kemungkaran. Firman Allah (maksudnya):
“Telah dilaknat mereka yang kafir daripada Bani Israil melalui lidah Nabi Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah: 78-79).
Apabila kezaliman melata di setiap penjuru, ia bagai kandungan yang menunggu saat untuk pecah. Jika ia tidak dikawal, kemusnahan seperti yang berlaku dalam Dunia Arab hari ini akan terjadi. Si zalim mendapat musibah, rakyat turut mendapat susah. Persis kata Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a:
“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201).
Muawiyah bin Abi Sufyan r.a juga memberikan nasihat yang berfaedah kepada gabenornya:
“Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang” ((Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).
Ya, insan sekali mana pun baik, tidak mungkin dapat terus bersabar ditindas dan dizalimi. Sementara orang jahat yang kekenyangan hasil dari kelincahan mereka, akan meluaskan kezaliman dan kefasadan yang pelbagai. Ketika itu, yang baik akan memberontak, sementara yang jahat akan merosak.
Keadilan Untuk Semua
Walaupun seseorang itu mungkin tidak baik dari segi agamanya, namun ia bukan lesen untuk membolehkan dia dizalimi. Perbezaan agama, atau kumpulan atau amalan, tidak membolehkan masyarakat menindasnya dalam perkara yang dia tidak bersalah. Sebab itu Nabi s.a.w mengingatkan:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (Riwayat Ahmad, dinilai hasan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah).
Dalam riwayat Ahmad juga, Nabi s.a.w bersabda:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ianya tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (Dinilai hasan oleh al-Albani dalam al-Sahihah).
Pemerintah dan Rakyat
Menghapuskan kezaliman adalah tugasan penting sesebuah pemerintahan. Menegakkan keadilan adalah tanggungjawab utama pemimpin. Inilah yang termaktub dalam pelbagai nas al-Quran dan al-Sunnah. Nabi s.a.w mengingatkan para pemerintah tentang hal ini, sabda baginda:
“Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Sementara rakyat wajib menyokong segala usaha pemerintah untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman. Begitu juga sebaliknya, pemerintah membantu rakyat menghapuskan kezaliman. Jika berlaku keadaan yang terbalik, sama ada di pihak rakyat ataupun pemerintah, maka tindakan anti-zalim mesti dilakukan sekalipun terpaksa bertembung. Ertinya, jika rakyat berlaku zalim, pemerintah wajib menegakkan keadilan dan menghapus kezaliman tersebut. Begitu juga jika pemerintah berlaku zalim, rakyat wajib menentang kezaliman dan meminta agar ditegakkan keadilan dan hak.
Maka, Nabi s.a.w telah mengingatkan:
“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)”. (Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi, dinilai oleh al-Albani)
Slogan inilah yang diterapkan oleh Saidina Abu Bakr al-Siddiq kepada rakyatnya ketika dilantik menjadi khalifah. Dalam ucapan dasarnya, dia menyebut:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Kita mesti hidup sebagai sebuah masyarakat yang anti-zalim. Berganding bahu setiap pihak dalam negara ini untuk menegakkan tanggungjawab yang besar ini.

Wednesday, April 6, 2011

Penjelasan SPRM berhubung kematian pegawai kastam



Berikut adalah penjelasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kematian seorang pegawai Kastam di SPRM Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Pada hari ini, 6 April 2011 diantara jam 10.15 pagi hingga jam 10.20 pagi satu kejadian telah berlaku di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur dimana seorang individu telah ditemui meninggal dunia
Individu yang ditemui meninggal dunia ini dikenal pasti sebagai Ahmad Sarbani bin Mohamed, berumur 56 tahun, seorang Penolong Pengarah Kastam daripada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Selangor.
SPRM mengesahkan bahawa penama berkenaan adalah di antara pegawai Kastam yang telah ditahan pada 1 April 2011 jam 1.00 tengahari di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Kelang.
Penama tersebut setelah membantu dalam siasatan yang melibatkan operasi 3B iaitu satu siasatan berkaitan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, telah dilepaskan melalui jaminan pada hari Sabtu 2 April 2011 jam 12.30 tengahari.Penama tersebut telah pun meninggalkan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas dilepaskan melalui jaminan tersebut.
Pada hari ini, Rabu 6 April 2011 jam 8.26 pagi, penama berkenaan telah datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersendirian dengan menunggang sebuah motorsikal.Penama ini telah meminta untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya. Oleh kerana pegawai-pegawai sedang bermesyuarat maka penama berkenaan telah menunggu di lobi pejabat sehingga jam 9.30 pagi.
Penama tersebut kemudian telah diiringi oleh seorang pegawai ke bilik pejabatnya untuk mendapatkan pegawai penyiasat menemui penama tersebut.Pegawai yang mengiringi penama tersebut telah berada bersamanya dalam bilik pejabat pegawai berkenaan.Pada jam lebih kurang 10.15 pagi, pegawai yang mengiringi beliau telah meninggalkan penama tersebut di pejabatnya dan keluar sebentar pergi mendapatkan pegawai penyiasat.
Dalam beberapa minit kemudian, pegawai tersebut telah kembali ke pejabatnya dan mendapati penama berkenaan tiada dalam bilik berkaitan.Setelah mencari dalam kawasan pejabat, seorang pegawai telah terlihat satu tubuh manusia terlantar di tingkat 1 bangunan pejabat ini.SPRM telahpun memaklumkan kejadian ini kepada keluarga simati dan pihak pengurusan jabatannya serta menyerahkan perkara ini kepada pihak Polis untuk mengambil sebarang tindakan .

malaysiakini.com

Pegawai kastam mati jatuh bangunan SPRM


Seorang pegawai kastam yang membantu siasatan kes rasuah ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di ibu negara pagi ini.
NONEMangsa dikenalpasti sebagai Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang berkhidmat sebagai pembantu pengarah di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor.
Pegawai kanan itu membantu siasatan membabitkan cukai tidak dibayar dan telah dibebaskan dengan ikat jamin dua hari lalu.
Pengarah penyiasatan SPRM Mustafar Ali berkata, Allahyarham Ahmad Sarbani ditahan pada 1 April lalu berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Penahanan itu dibuat di Klang.
Ahmad Sarbani kemudiannya dilepaskan pada 2 April lalu pada jam 12.30 petang.
Lelaki itu datang semula ke pejabat SPRM di Jalan Cochrani di Kuala Lumpur untuk bertemu seorang pegawai penyiasat berhubung kesnya, kata Mustafar lagi.
Pegawai penyiasat telah memintanya menunggu di situ sementara pergi mengambil fail kes tersebut.

Bagaimanapun, apabila balik semula ke situ, dia mendapati pegawai Kastam tidak ada, kata pengarah penyiasatan SPRM Datuk Mustafar Ali.

NONEMayat Ahmad ditemui terbaring di atas gelanggang badmintion pada jam 10.15 pagi, kata Mustafar.
Siasatan ke atas Allahyarham dijalankan ekoran penahanan sejumlah 62 orang pegawai Kastam dalam satu operasi di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.
Operasi berkenaan dijalankan oleh satu tindakan bersama oleh SPRM, JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara.
Seorang lagi dikesan mempunyai lebih RM1 bilion manakala dua lagi yang ditahan mempunyai lebih RM500,000 di dalam akaun masing-masing.
Salah seorang pegawai kastam yang ditahan dalam operasi itu dikesan mempunyai wang berjumlah beberapa juta di dalam akaunnya.

malaysiakini.com

Sebar Bahan Lucah Sah disisi Undang-Undang?

KUALA LUMPUR, 5 April: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengutuk tindakan penyebaran video seks bahan lucah secara terbuka menerusi laman web video Youtube dan foto akhbar tempatan.
“Sesungguhnya perbuatan serta tindakan ini sangat keji dan menunjukkan betapa rendahnya nilai moral dalam masyarakat Malaysia,” kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Muhamad Razak Idris.
Katanya, penyiaran itu bertentangan sama sekali dengan ketetapan serta prosiding yang telah ditetapkan oleh undang-undang negara, di samping secara langsung mencabar autoriti pihak berkuasa yang berkenaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Di samping itu, tambahnya Abim juga menilai penyiaran video itu akan meninggalkan kesan yang negatif terhadap pembentukan tatasusila serta moral masyarakat di negara ini.
“Kegiatan ini jika tidak diambil tindakan akan menjadi prisidion bahawa penyebaran bahan lucah adalah suatu yang sah dan tidak melanggar undang-undang negara,” katanya.
Menurutnya, perkara sedemikian rupa tidak pernah berlaku sepanjang catatan sejarah politik Malaysia.
“Ini sekaligus membangkitkan persoalan kepada kita apakah norma-norma sedemikian ingin kita tonjolkan dan hidangkan kepada generasi muda dan masyarakat dalam dan luar negara sebagai satu keperluan kepada usaha pembangunan negara ini,” katanya lagi.
Beliau berkata, secara prinsipnya Abim sangat kecewa terhadap penyebaran ini kerana menambahkan satu lagi episod duka dan hitam dalam sejarah negara ini.
“Sedang masyarakat berbicara dan berbahas usaha membenteras gejala sosial di dalam masyarakat, pada masa yang sama kita membuka ruang kepada percambahan perbincangan perkara tak bermoral dari sudut penyebarannya,” ujarnya.
Abim juga, kata beliau ingin meneegaskan kepentingan nilai, prinsip dan etika kewartawanan dan penyiaran yang harus dijunjung di kalangan pengamal media kerana mereka memikul tanggungjawab sosial yang sangat berat.
Tambahnya, keutuhan prinsip Rukun negara bagi menjaga "Kesopanan dan kesusilaan" perlu diterjemah di dalam tindakan segenap masyarakat malah ia berkait juga dengan "Kedaulatan undang-undang" sebagai elemen pembangunan negara.
Sehubungan dengan itu, Abim menggesa PDRM supaya mempercepatkan proses siasatan mengenai penyebaran video seks tersebut, di samping mengenal pasti individu yang terlibat untuk dibicarakan menerusi pengadilan yang telah ditetapkan dengan segera.
Beliau menambah, Abim ingin menegaskan menolak sebarang provokasi untuk mengaibkan peribadi seseorang memandangkan perbuatan tersebut adalah haram dan bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam.
Justeru, katanya perbuatan tersebut iaitu provokasi terhadap peribadi seseorang seharusnya tidak boleh dijadikan alat bagi mencapai sesebuah tujuan dan memenuhi kepentingan tertentu.
“Dalam kesempatan ini, Abim ingin menyeru umat Islam supaya agar menjauhi perbuatan mengaibkan peribadi seseorang di samping meningkatkan doa dan menunaikan solat hajat untuk memohon kesejateraan serta perlindungan dari sebarang malapetaka dan bencana untuk umat Islam serta seluruh pelusuk masyarakat di negara ini,” katanya.

harakahdaily.net

Friday, December 10, 2010

Surau oh surau

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Tindakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mahu merobohkan surau Madrasah Al-Falah Kampung Kerinchi, di sini yang berusia lebih 12 tahun amat dikesali oleh PAS, memandangkan tindakan itu jelas gagal memahami perasaan orang ramai terutama dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama.

Pihak DBKL tidak seharusnya mengambil semudah itu, memandangkan ia melibatkan tempat ibadat umat Islam yang telah dibina sekian lama oleh penduduk tempatan dan dengan wang ringgit serta titik peluh mereka sendiri.

AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa ketika menyuarakan kekasalan itu berkata, lagikan rumah ibadat penganut agama lain termasuk Kristian, Buddha dan Hindu pun tidak boleh diperlakukan sebegitu mudah, apatah lagi dengan tempat ibadat umat Islam, sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Menurut beliau, DBKL sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan penduduk tempatan bagi mendapatkan persetujuan mereka terlebih dahulu berhubung perkara itu.

Jika orang ramai ternyata sudah tidak bersetuju untuk dirobohkan surau itu, pihak DBKL tidak sepatutnya merobohkannya walaupun atas tujuan pembangunan.

"Jadi dengan itu, sesiapa pun tidak boleh menyalahkan pendududuk di kawasan itu untuk mempertahankan surau itu dari dirobohkan. Mereka telah membinanya sendiri sejak sekian lama, jadi mereka memanglah berhak mempertahankannya dari dirobohkan dan dari sebarang pencerobohan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, jika hendak dirobohkan juga, ia tentunya menimbulkan tanda tanya dan kerisauan di kalangan penduduk tempatan, lebih-lebih lagi jika tindakan itu dilakukan tanpa sebarang jaminan kepada mereka mengenai surau yang akan menjadi gantinya, berapa lama surau yang akan menggantikan surau itu akan diperolehi dan di manakah pula mereka hendak mendirikan solat berjamaah dan melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan lain sepanjang surau baru itu akan disiapkan?

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan DBKL yang mengeluarkan notis untuk merobohkan surau tersebut bertarikh 10 November lalu yang berakhir hari ini untuk tujuan pembangunan.

Ekoran notis itu, kira-kira 80 ahli kariah surau tersebut yang bimbang surau itu akan dirobohkan telah bermalam di surau itu sejak malam semalam sehingga pagi ini dan disertai beberapa kumpulan mahasiswa daripada universiti berdekatan.

Pengerusi surau itu, Jasni Abdullah memberitahu, dua tiga hari sebelum ini, beliau telah menghubungi bahagian penguatkuasaan DBKL dan beliau telah diberikan jaminan mulut bahawa mereka tidak akan merobohkan surau itu.

"Mereka tidak memberi tempoh masa (penangguhan) dan tidak memberi (sebarang) alasan. Walaupun jaminan mulut yang diberikan, 80 ahli kariah tetap bermalam di surau ini sejak malam semalam. Pihak kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Kami juga turut menunaikan solat hajat supaya surau ini tidak dirobohkan," tegasnya. 

Menurut beliau, pada mulanya, beliau berasa terkejut setelah mendapat notis sebulan yang lalu daripada DBKL untuk merobohkan surau tersebut yang telah beroperasi sejak 1998 lalu. Tambahan pula, surau tersebut mendapat bantuan pembinaan daripada DBKL termasuk perbelanjaan mengecat pada dua bulan lalu.

Berikutan penerimaan notis berkenaan, pihaknya menulis surat pada 16 dan 24 November lalu kepada DBKL memohon agar pihak berkuasa menarik balik notis itu. Namun pihaknya tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak berkenaan.

Penduduk juga, katanya, telah menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada 3 Disember lalu. Bagaimanapun, sehingga hari ini, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada menteri itu. Sehingga kini, pihaknya masih lagi dalam proses rundingan dengan DBKL.

Mengulas perkara itu dengan lebih jauh, Dr Mujahid bimbang jika tindakan tersebut dilakukan oleh pihak DBKL disebabkan surau tersebut dilabel sebagai kubu penyokong PAS di kawasan itu.

"Tetapi saya harap perkara itu tidak berbangkit dan kebimbangan saya itu tidak berasas. Itulah harapan saya. Tambahan pula pengerusi surau itu sendiri pun sudah pun menafikan perkara itu," katanya.   

Dalam perkembangan pagi tadi, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (GAMBAR) turut hadir ke surau itu untuk bersama penduduk tempatan. Beliau berharap agar pihak DBKL dan menteri berkenaan menjawab persoalan aduan daripada pihak penduduk mengapa surau itu mahu dirobohkan?

"Pihak surau telah menggunakan saluran diplomasi, tetapi surat (mereka) tidak dijawab," katanya dalam sidang media di surau berkenaan.
“Baru dua bulan DBKL sendiri mengecat bangunan (surau) ini (sehingga) cantik dan indah, malah Ketua Pengarah DBKL sendiri dilaporkan pernah hadir program pada Ramadan lalu... tiba-tiba notis ini dikeluarkan dengan mereka tidak melayan memorandum dan surat-surat ahli kariah ini," kata Nurul sekali lagi dalam sidang medianya di Dewan Rakyat.

Menurutnya, pihak surau ada mengadu berhubung perkara itu kepadanya, tetapi beliau meminta mereka berhubung terus dengan pihak berkuasa supaya "tidak ada elemen politik", namun beliau amat kesal kerana surat mereka tidak diendahkan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden PKR yang telah meluangkan masa kira-kira sejam sejak 8 pagi di surau berkenaan akan menghantar surat kepada Raja Nong Chik memohon penjelasan berhubung perkara tersebut.

Kira-kira 70 orang termasuk mahasiswa dan wartawan berada di surau berkenaan. Sehingga tengah hari ini, tiada pegawai penguatkuasa DBKL hadir ke surau berkenaan. Bagaimanapun, dari pemerhatian Harakahdaily terdapat dua pegawai polis di surau itu

Nasyid FM

About This Blog

About This Blog

  © Blogger template Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP